Friday, 11 October 2013

Kelebihan Beristighfar

Assalamualaikum...

Salam Jumaat semua. Okey pagi ini entri aku mengenai Kelebihan Beristighfar kiranya aku bagi tazkirah lah pagi-pagi jumaat ini kan. Dulu masa sekolah, setiap pagi Jumaat lepas perhimpunan pelajar Islam diminta berkumpul di surau  sebab ada bacaan Yassin dengan tazkirah sedikit. Tujuan dia merawat jiwa remaja yang banyak masalah termasuk aku ler tu..huhu Okey balik pada tajuk entri aku, ditulis oleh Mohd Hassan Adli Yahaya (Iman Muda Musim Ke-2) dalam keratan akhbar dan aku cuma sampai untuk korang semua je. hihi

'Amalan mengundang rezeki dan mendapat keampunan Allah SWT'

Berapa hari lalu, saya berkesempatan bertemu seorang rakan dan seperti biasa, pelbagai cerita dibualkan. Namun, dalam banyak-banyak cerita, saya tertarik mendengar pengalamannya yang saya kira sebenarnya mempunyai hikmah mengenai keagungan Allah SWT sebagai pencipta.

Kisahnya biasa saja namun bagi yang dapat menilainya, ia memang luar biasa.

Sebenarnya, teman saya secara tidak sengaja teringat pesanan seorang ustaz yang menyatakan, istighfar dapat mengundang rezeki selain mendapat keampunan Allah SWT ketika menghidupkan enjin kenderaan untuk ke satu destinasi atas urusan kerja.

Jadi, apabila memulakan perjalanan, beliau mengucapkan 'Astaghfirullahalazim' berulang-ulang kali. Ketika berada di satu lebuh raya yang menghampiri sebuah plaza tol, keretanya dipintas sebuah lori kecil yang berebut-rebut memasuki lorong tol terlebih dulu.

Tanpa berfikir apa-apa, beliau mengekori saja lori itu sehinggalah ke lorong plaza tol sama. Selesai membuat pembayaran, lori itu berlalu pergi dan rakan saya menurunkan tingkap untuk membuat bayaran tol.

Sebaik menghulurkan duit, petugas itu berkata: "Tak mengapa cik, orang depan dan bayar untuk cik."

Dalam keadaan terpinga-pinga, rakan saya seperti tersentak. Siapa pula yang begitu murah hati membayarkan tol untuknya? Kebetulan, tiada kenderaan lain di depannya ketika itu melainkan lori berkenaan.

Tidak puas hati dengan penjelasan petugas tol itu, rakan saya 'mengejar' lori berkenaan untuk mendapatkan kepastian apa dikatakan petugas tol dan andaiannya.

Ketika memintas lori itu, rakan saya membunyikan hon dan memandang pemandu lori sambil mengangkat tangan sebagai tanda ucapan terima kasih.

Pemandu lori itu, seorang lelaki muda India, membalas sapaan rakan saya dan mengangkat tangan umpama menyatakan 'sama-sama'.

Ketika itu, meremang bulu roma rakan saya mengenangkan betapa cepat Allah menunjukkan bukti janji Allah itu adalah sesuatu yang pasti. Betapa juga besarnya fadilat kalimah 'istighfar' yang hanya mengambil masa kurang daripada tiga saat setiap kali dilafazkan.

Mungkin bagi sesetengah orang, ia perkara kecil kerana hanya membabitkan nilai duit yang tidak seberapa. Lainlah jika mendapat 'rezeki terpijak' dalam jumlah besar, baru boleh berasa takjub.

Ada juga yang mungkin beranggapan ia hanya kebetulan dan mungkin juga petugas tol itu tiada wang kecil untuk dikembalikan kepada pemandu lori berkenaan.

Namun bagi saya, ia kisah yang harus dipandang dengan mata hati. Soal kebetualan atau berapa nilai wang itu bukan sesuatu yang signifikan.

Pokok pangkalnya, siapa yang menggerakan hati pemandu lori itu untuk membayarkan tol rakan saya jika bukan Allah SWT.

Ia juga sebagai tanda betapa Allah gembira terhadap hamba yang selalu mengingati-Nya pada setiap saat dan waktu. Maka Allah menghantar satu isyarat mudah kepada hamba yang mengingati-Nya betapa Dia juga mengingati hamba-Nya.

ISTIGHFAR untuk mendapat pengampunan Allah SWT.

Lihat pula sebuah kisah mengenai Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu 'Abd Allah al-Shayban yang terkenal dengan nama mazhabnya iaitu mazhab Hanbali.

Satu ketika, Iman Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya. Dalam waktu larut malam dan badan berasa sangat letih, Iman Ahmad teringin untuk tidur dalam sebuah masjid.

Namun, niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid melarang Iman Ahmad tidur di situ. Iman Ahmad kemudian bertanya sama ada dia dibenarkan tidur di luar masjid, tetapi penjaga itu melarangnya juga.

Iman Ahmad bertanya lagi, bolehkah dia tidak tidur tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, dan penjaga itu turut melarangnya. Penjaga itu kemudian menolak Iman Ahmad dari masjid itu.

Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Iman Ahmad dan penjaga masjid lantas mempelawa untuk bermalam di rumahnya. Iman Ahmad menerima pelawaan itu.

Ketika Iman Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar daripada pembuat roti yang sibuk membuat rotinya.

Paginya, Iman Ahmad bertanya pembuat roti mengapa dia beristighfar? Pembuat roti menjawab: "Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah, cuma satu perkara lagi belum."

Iman Ahmad bertanya: "Apakah doa kamu yang belum diperkenankan oleh Allah?" Jawab lelaki itu: "Saya berdoa semoga dipertemukan dengan Iman Ahmad bin Hanbal."

Iman Ahmad berkata: "Sayalah orangnya. Akulah Iman Ahmad Bin Hanbal. Demi Allah, sesungguhnya aku diseret untuk menuju kepadamu untuk menyampaikan hajatmu."

Lihat saja betapa agungnya kuasa Allah memakbulkan doa pembuat roti itu untuk menemukan dia dengan Iman Ahmad. Berkat istighfar yang sentiasa dilakukan dengan hati yang ikhlas, Allah memakbulkan doa pembuat roti itu.

Nyata kelebihan istighfar sangat besar buat kita. Ikhlaskan hati kita untuk beristighfar kepada-Nya, insya-Allah sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

*p/s Berzikir kepada Allah SWT membuat hati kita sentiasa tenang dan mengingati Allah lebih besar ganjarannya.


No comments:

Post a Comment

photobucket manjakuhappy.com