Wednesday, 6 January 2016

Perginya Abah Tak Kembali...Al-Fatihah

Assalamualaikum...

Al-Fatihah 
Ameen...
Amin ya Rabbal alamin...Semoga Allah S.W.T merahmati pemergiaan arwah abah serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. InshaAllah...

Abd Rahman Bin A.Jalil
17 Mei 1951-19 Disember 2015 bersamaan 7 Rabiul'Awal 1437
Hari ini genap 19 hari arwah abah kembali ke rahmatullah untuk berjumpa sang Pencipta. Pemergian arwah abah masih aku terasa sehingga hari ini. Hilangnya seorang kawan, sahabat, teman dan juga seorang abah untuk tempat aku meluahkan segalanya. Begitu juga adik-beradikku.

Aku memang rapat dengan abah daripada ibu. Setiap tahun bila aku dapat bonus aku sendiri tak pernah fikirkan aku nak buat apa dengan duit itu. Tapi bila abah sendiri yang tetapkan duit bonus aku pergi ke mana aku pasti turuti. Walaupun duit gaji aku setiap bulan memang aku banyak habiskan untuk ibu dan abah. Kerna aku tahu abah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk anak-anak abah. 

Perginya abah bertemu Allah telah hilang satu keberkatan dalam hidupku. Abah yang sentiasa mendahulukan aku daripada adik-beradik lain. Abah yang sentiasa mengembirakan hati anak perempuan sepanjang hayatnya. Abah yang pernah cakap siapa tak sayang buah hati abah seorang bila aku sakit. Abah yang selalu membuat keputusan untuk aku bila aku teringin sangat-sangat berjumpa kawan-kawan sekolah.

Abahlah superhero aku kerana abah berjaya membunuh seekor anak lipan sesat di dalam bilikku dengan menggunakan tongkat abah ketika aku menganggu tidur malamnya. Abah yang suka bercerita mengenai kejayaan anak-anaknya kepada kawan-kawan dan saudara mara abah.

Sehinggalah abah jatuh sakit dan menyukarkan abah menguruskan diri sendiri. Namun, abah tetap sujud pada yang Esa dan berzikir menyebut nama-Nya bagi melawan kesakitan yang hanya Allah sahaja tahu.

Kini, satu-satunya abah yang aku sayang ada di dunia ini pergi buat selamanya.

Permintaan arwah abah yang mahu meninggal dunia di samping isteri dan jua anak-anak abah telah Allah makbulkan. Aku ingat lagi kata-kata abah yang selama ini aku anggap sebagai gurauan sudah jadi kenyataan.

'Abah kalau boleh nak mati biar isteri dan anak-anak abah ada dekat sisi abah'.

'Abah kalau boleh nak anak-anak abah yang mandikan, kapankan dan solatkan jenazah abah bila abah tiada nanti'.

'Abah nak mati dekat rumah tak nak mati dekat hospital'. Walaupun hospital seperti rumah kedua abah yang sentiasa ulang alik seminggu sekali sejak 2 tahun penyakit hati tiada penyembuhnya. 

Dan, alhamdulillah semua permintaan abah sudah Allah tunaikan. Aku dan adik-beradik aku yang uruskan  semua. Abah pasti bangga sekarang kan bah!

Bila aku rapat dengan abah, abah pasti menceritakan sesuatu yang dahulu aku anggap gurauan tapi kini bila abah tiada aku menganggapkan suatu pesanan yang sangat-sangat penting. Kalau kita jaga ibuabah kerna Allah pasti akan datang ikhlas dalam hati. Perasaan letih, penat dan kadang-kadang datang perasaan marah pasti akan hilang dengan sendirinya.

Itu yang aku rasa sepanjang aku jaga arwah abah hingga akhir hayatnya. Allah nak bagi syurga bukan senang kan. Aku suka dengar ceramah Ustaz Ebit Lew sebab dia banyak bagi motivasi untuk kita sentiasa berkasih sayang terutamanya kepada ibuabah kita.

Abang aku pesan kalau sayangkan abah, rindukan abah banyakkan sedekah Al-Fatihah, surah Al-Ikhlas 3x, surah Yassin dan bacakan Al-Quran niatkan untuk arwah abah. Abah sekarang tiada amalan dah boleh buat melainkan anak-anak yang sentiasa doakan untuk abah. InsyaAllah...

'Kalau nak jumpa abah jangan tinggal solat. Nanti dapat abah jumpa isteri dan anak-anak abah dekat sana'. Syurga Allah yang kekal abadi.

No comments:

Post a Comment